Friday, 16 November 2012

Berita: Perkhemahan Kadet Remaja Sekolah


Pasukan Kadet Remaja Sekolah  anda telah mengadakan perkhemahan. Tuliskan sebuah berita tentang perkhemahan tersebut

Rangka Karangan
Pendahuluan:
-SJK(C) Chung Hua Spaoh – perkhemahan – dua hari satu malam – air terjun Sungai Rengit
-bertujuan untuk melatih disiplin dan kepimpinan murid
Isi 1:
-seramai 50 ahli Pasukan Kadet Remaja Sekolah –tujuh guru pengiring – dibahagikan kepada 5 kumpulan – taklimat ringkas diberi kepada para peserta
Isi 2:
-Hari Pertama – murid diajar cara mendirikan khemah – murid mendirikan khemah – bimbingan guru
-pertandingan memasak – setiap ahli kumpulan bekerjasama menghasilkan masakan. Kumpulan “handal” mendapat tempat pertama dengan masakan karinya
Isi 3:
-Pada hari kedua – kembara hutan – peserta diberi pendedahan tentang pelbagai jenis flora dan fauna – guru pembimbing menyeru murid supaya sayang kepada hutan
– persembahan budaya – amat menarik – kumpulan “Tangkas” mendapat johan
Penutup
-Majlis penutupan – Ketua pasukan menyampaikan hadiah – berucap – mengucapkan tahniah kepada kumpulan pemenang – berharap perkhemahan dapat dianjurkan setiap tahun

Contoh Jawapan:
SPAOH, 12 Mei – Persatuan Kadet Remaja Sekolah SJK(C) Chung Hua Spaoh telah mengadakan perkhemahan selama dua hari satu malam di air terjun Sungai Rengit. Perkhemahan ini bertujuan untuk melatih disiplin dan kepimpinan murid.
        Seramai 50 ahli persatuan Kadet Remaja Sekolah dan tujuh guru pengiring telah terlibat dalam perkhemahan ini. Para peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan iaitu kumpulan Tangkas, kumpulan Handal, Kumpulan Cerdik, Kumpulan Bestari, dan Kumpulan Dinamik.  Taklimat ringkas tentang peraturan dan langkah-langkah keselamatan diberi kepada para peserta sebelum bertolak ke tempat perkhemahan.
          Pada hari pertama, peserta diajar cara untuk mendirikan khemah. Selepas itu, peserta mendirikan khemah mengikut kumpulan masing-masing di bawah bimbingan guru. Pada pukul 3:00 petang, pertandingan memasak berlangsung. Setiap ahli kumpulan bekerjasama menghasilkan masakan yang lazat untuk mengambil hati hakim. Kumpulan Handal berjaya mendapat tempat pertama dengan masakan karinya.
           Pada pukul 7:00 pagi hari kedua, peserta berkumpul untuk aktiviti kembara hutan. Selepas taklimat ringkas diberi, para peserta masuk ke dalam hutan mengikut kumpulan masing-masing. Peserta diberi pendedahan tentang pelbagai jenis flora dan fauna yang terdapat dalam hutan. Di samping itu, guru pembimbing juga menyeru murid supaya sayang kepada hutan. Aktiviti ini berakhir pada pukul 12:00 tengah hari.
Pada sebelah petang, persembahan budaya dijalankan. Setiap kumpulan mempersembahkan persembahan seperti tarian, nyanyian, dan lakonan. Persembahan budaya ini amat menarik dan mendapat sambutan hangat. Akhirnya, kumpulan Tangkas berjaya mendapat johan dalam pertandingan ini.
Majlis penutupan berlangsung pada 5:00 petang. Ketua perkhemahan Encik Kang menyampaikan hadiah kepada pemenang. Encik Kang tidak lumpa mengucapkan tahniah kepada kumpulan yang menang dan beliau berharap perkhemahan dapat dianjurkan setiap tahun.



1 comment:

  1. Cikgu Chang,
    rangka karangan ini membantu murid untuk menulis karangan

    ReplyDelete